Ahad, 24 Mac 2013

Pekerja kilang mati ngeri, motosikal bertembung treler

LEDANG 24 Mac - Seorang pekerja kilang mati dalam keadaan mengerikan dengan mukanya pecah setelah motosikal ditunggang merempuh sebuah treler di Kilometer 24, Jalan Muar-Segamat di sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.45 petang, semasa mangsa, Haris Harun, 48, yang bekerja di sebuah kilang elektronik di Tangkak di sini, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jasin, Melaka selepas habis syif bekerja.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Harun Idris berkata, tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal menyebabkan kenderaan itu terbabas memasuki laluan kanan jalan lalu bertembung dengan sebuah treler yang datang dari arah bertentangan.
"Mangsa yang tercampak di atas jalan maut akibat mengalami cedera parah manakala motosikalnya remuk teruk.
"Pemandu treler berusia dalam lingkungan 30-an tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang bagi membantu siasatan. -


>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan